PETALING JAYA – Malang tidak berbau buat aktor dan model Harris Anuar apabila bibir bahagian atasnya bengkak selepas disengat tebuan awal pagi tadi.
Menurut Harris atau nama sebenarnya Mohammad Harris Shahrul Annuar, 28, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang mandi sebelum menunaikan solat Subuh sekitar pukul 6 pagi tadi.
Menerusi beberapa entri dalam media sosialnya, Harris berkongsi foto dan video yang memaparkan bibir atasnya bengkak dan membesar dua kali ganda daripada saiz asal.
“Pagi tadi ketika sedang mandi dan cuci muka, ada seekor tebuan hinggap di tuala saya. Saya tidak perasan ketika itu.
“Selepas bilas muka, saya terus ambil tuala dan lap. Ketika itulah tebuan tersebut terperangkap antara muka dan tuala seterusnya menyengat bibir atas saya,” ceritanya dalam sebuah video TikTok hari ini.
Menerusi perkongsian Harris, dia kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Ipoh, Perak dan dijangka akan dibenarkan pulang esok.
Dalam pada itu, pelakon drama Terlerai Noktah itu juga berterima kasih untuk semua doa yang diberikan orang ramai terhadapnya.
“Terima kasih untuk semua doa. Saya okey, cuma botoks original daripada tebuan ini sangat real (bukan main-main),” ujarnya lagi.
Hasil tinjauan Kosmo!, malam tadi Harris dilihat menyertai sebuah majlis keagamaan yang turut dihadiri pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew. – K! ONLINE