PETALING JAYA – Sesi lawatan keluarga atau penjaga bagi klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara kini dibenarkan.
AADK dalam satu kenyataan berkata, sesi lawatan keluarga tersebut akan memberi peluang kepada keluarga atau penjaga termasuk klien untuk bertemu serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong klien dalam institusi untuk terus memberi komitmen mengekalkan kepulihan.
“Kebenaran lawatan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak Puspen bagi mengelakkan kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19.
“Permohonan janji temu itu boleh dibuat menerusi pangggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan terlibat.
Tambah kenyataan tersebut, lawatan secara walk-in adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Puspen atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my. – K! ONLINE