SUNGAI SIPUT – Usaha untuk melahirkan usahawan dalam kalangan masyarakat Orang Asli terus digandakan apabila seramai 17 lagi penerima mendapat bantuan kit peralatan perniagaan usahawan tani di Pusat Hentian Setempat Perkampungan Orang Asli (OASC) Bawong di sini semalam.
Disebabkan situasi pandemik, maka majlis penyerahan bantuan dilakukan secara simbolik melibatkan tiga orang penerima.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri Perak dan Kedah dalam satu kenyataan memberitahu, majlis penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Dato’ Mohd. Nor.
Menurut kenyataan itu, OAOSC Bawong telah meluluskan seramai 17 penerima bantuan kit peralatan perniagaan usahawan tani pada tahun ini.
“Bantuan tersebut adalah sebagai sokongan sekali beri daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Jakoa sebagai galakan para usahawan tani dalam kalangan Orang Asli agar dapat menjana ekonomi keluarga dalam situasi pandemik ini.
“Selain itu, ia bagi merancakkan pengoperasian OAOSC Bawong sebagai pusat hentian setempat pembangunan Perkampungan Orang Asli seterusnya para penerima ini dapat menjana pendapatan sendiri dengan lebih baik,” ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu dalam majlis sama, seramai 38 orang Tok Batin Orang Asli menerima bayaran bantuan khas kewangan dari kerajaan negeri Perak yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jakoa negeri Perak dan Kedah, Khairul Annuar Che Zakaria
Menurut Khairul Annuar, majlis itu juga sebagai penghargaan kerajaan Perak atas kerjasama Tok Batin bersama-sama dengan masyarakat di perkampungan Orang Asli selari bersama memajukan komuniti seiring dengan aspirasi kerajaan negeri.
Beliau turut mengingatkan kepada Tok Batin agar memastikan semua penduduk kampung yang layak divaksin menerusi program vaksinasi kerajaan bagi mewujudkan komuniti selamat dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Tok Batin juga diminta sentiasa membantu pihak Jakoa bagi mengemas kini maklumat penduduk setiap bulan kepada Pejabat Jakoa Daerah Kuala Kangsar dan Pejabat Jakoa Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap supaya profail kampung adalah tepat bagi perancangan bantuan dan pembangunan kemajuan kampung kelak,” ujarnya. – K! ONLINE.