RANTAU PANJANG – Sekumpulan lelaki bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu selepas aktiviti penyeludupan mereka dihidu oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Syed Agil di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, Batalion 7 PGA turut merampas pelbagai jenis pakaian dan kelengkapan tidur yang popular dari negara jiran iaitu Narita ditinggalkan oleh kumpulan penyeludup berkenaan.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa menjalankan pemantauan yang dibantu Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman, pihaknya mengesan aktiviti penyeludupan di kawasan itu.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota PGA, kesemua lelaki tersebut bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu.
“Pemeriksaan di kawasan itu telah menjumpai pelbagai pakaian dan peralatan kelengkapan tidur bernilai RM4,200 yang berada di dalam perahu dan di tebing Sungai Golok.
“Siasatan awal mendapati, kesemua barangan tersebut diseludup dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azhari, kesemua barangan tersebut di bawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE.