KUALA LUMPUR – Skuad badminton kebangsaan diundi bertemu musuh tradisi, Indonesia pada aksi suku akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark esok.
Ia selepas Malaysia mara ke pusingan seterusnya sebagai naib juara Kumpulan D, di belakang Jepun selaku juara Kumpulan D hasil kemenangan 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Ceres Arena sebentar tadi.
Undian itu dilihat agak rumit memandangkan Indonesia adalah negara paling banyak menjuarai Piala Thomas sebanyak 13 kali dan sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 2002 di Guangzhou, China.
Bagaimanapun, Malaysia tetap mempunyai peluang tersendiri kerana masih segar dengan kejayaan menewaskan Indonesia sewaktu saingan kejohanan berpasukan campuran pada Piala Sudirman di Vantaa, Finland bulan lalu.
Jika berjaya menewaskan Indonesia, Malaysia bakal menempah pertemuan dengan pemenang satu lagi aksi suku akhir antara Denmark atau India di peringkat separuh akhir pada Sabtu ini.
Dalam aksi sebentar tadi, perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia gagal mengulangi kecemerlangannya apabila tewas 21-15, 12-21, 21-23 kepada pemain No. 1 dunia, Kento Momota.
Beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga tidak berada pada tahap terbaik apabila kalah 13-21, 13-21 di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Keputusan sama turut dialami perseorangan kedua, Cheam June Wei apabila kecundang 20-22, 13-21 kepada Kanta Tsuneyama dan beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tewas 10-21, 16-21 terhadap Akira Koga-Yuta Watanabe.
Bagaimanapun, Leong Jun Hao menggembirakan kem negara apabila mencipta kejutan dengan menghadiahkan kemenangan sagu hati selepas menewaskan Kenta Nishimoto 21-19, 21-18. – K! ONLINE