PUTRAJAYA – Bermula esok, remaja dan pelajar boleh menikmati Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia ditawarkan oleh enam syarikat telekomunikasi untuk tempoh enam bulan sehingga 15 April tahun depan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan ini bagi membantu golongan tersebut memperoleh akses internet dan mereka yang kurang berkemampuan, memiliki peranti pintar mampu milik.
Menurutnya, ia ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL malah, inisiatif itu bukti komitmen kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada internet pada harga berpatutan.
“Pakej Remaja Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk remaja serta pelajar termasuk pascasiswazah dan dengan hanya RM10/sebulan (dibayar untuk tiga bulan/RM30), mereka akan mendapat data 20GB (Gigabyte merujuk kapasiti storan data) untuk tiga bulan.
“Selain itu, turut diberikan data 1GB (jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta internet asas tanpa had. Jadi dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari internet,” katanya pada sidang akhbar pelancaran pakej tersebut di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data.- K! ONLINE