NEWCASTLE – Bekas pengurus Chelsea, Frank Lampard dilaporkan sedang mendahului calon lain untuk dilantik sebagai pengurus baharu Newcastle United menggantikan Steve Bruce.
Bruce dilaporkan sudah mengadakan pertemuan dengan pemilik bersama kelab itu, Amanda Steveley Isnin lalu dipercayai untuk berbincang mengenai pampasan yang bakal diperoleh ekoran penamatan awal kontraknya.
Sumber memberitahu, kelab itu akan mengadakan rundingan bersama Lampard dalam tempoh terdekat ini dalam usaha mereka untuk melakukan rombakan dan perubahan besar terhadap Newcastle.
Lampard, 43, masih belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan selepas dipecat pada Januari lalu dan memiliki hasrat untuk kembali menjalankan tugas menguruskan kelab.
Selain itu, bekas jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre juga turut dikaitkan dengan jawatan berkenaan selepas beliau dipecat oleh kelab itu pada Disember tahun lalu dan masih belum bertugas dengan mana-mana kelab ketika ini.
Favre sebelum ini ditawarkan jawatan pengurus oleh Crystal Palace, namun menolaknya dan kini beliau mungkin bersedia menerima jawatan di St. James Park sekiranya ditawarkan peluang ketika Newcastle ketika ini mempunyai sokongan kewangan yang kukuh.
Dua lagi pengurus yang turut dikaitkan dengan jawatan bersama The Magpies adalah pengurus Leicester City, Brendan Rodgers serta Graham Potter yang sedang mengemudi Brighton ketika ini.
Ketika ini, penolong pengurus, Graeme Jones akan membimbing pasukan itu berdepan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris Ahad ini sehingga perbincangan antara Bruce dan pengurusan kelab selesai. – AGENSI