SEREMBAN – Seorang penolong akauntan Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus, hari ini.
Mangsa , Nurul Hayati Mohammad, 44, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira pukul 6.23 petang itu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II, Rudi Hartono Mohd. Yasin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.36 petang.
“Sejurus tiba di tempat kejadian didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu Perodua Axia dari arah Kuala Pilah dan Perodua Myvi dari arah Seremban ke Kuala Pilah.
“Pemandu Perodua Myvi tersepit di tempat duduk dan kita mengambil masa 10 minit bagi mengeluarkannya,” katanya.
Menurutnya, wanita berumur 40-an yang memandu Perodua Axia hanya cedera ringan termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang patah kaki.
Sementara itu, rakan terdekat mangsa yang juga merupakan juruhebah Negeri FM, Jamilah Jamal, 46, memberitahu, mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sepanjang bertugas hari ini.
“Kami hanya berbincang tentang kerja dan arwah tidak menunjukkan kelakuan pelik. Arwah merupakan seorang kakitangan yang ceria dan periang serta suka menolong orang.
“Saya tidak sangka kejadian ini berlaku kerana pada pukul 5.28 petang saya sempat berjumpa dia dan itu pertemuan terakhir dengan arwah,” katanya. -K! ONLINE