SEREMBAN – Pemantauan secara berterusan dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di stesen bas Terminal One bagi memastikan pengusaha bas dan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kebenaran rentas negeri.
Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan berkata, seramai 141 anggota penguatkuasa JPJ di seluruh negeri akan ditugaskan untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terutama pada minggu pertama rentas negeri dibenarkan.
“Anggota kita akan ditempatkan di stesen bas untuk buat pemantauan tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan malam.
“Pemeriksaan secara rawak turut dibuat terhadap pengguna bas dengan melalui aplikasi MySejahtera sama ada mereka telah lengkap suntikan vaksin Covid-19 atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan di stesen bas Terminal One di sini hari ini.
Jelas Azrin, selain itu pihak JPJ juga akan membuat pemeriksaan teknikal kenderaan termasuk tayar bas digunakan berbunga dan brek berfungsi dengan baik bagi menjamin keselamatan pengguna.
“Setakat ini, pemeriksaan dan pemantauan sejak Isnin lalu mendapati tiada individu melanggar SOP ditetapkan, sekaligus menunjukkan pengguna dan pengusaha bas mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.
“Selain di stesen bas, kita juga membuat pemeriksaan secara rawak di kawasan lebuh raya memandangkan dalam keadaan rentas negeri negeri dibenarkan kenderaan makin banyak,” katanya.-K!ONLINE.