fbpx

Jadikan perpustakaan sebagai ‘rumah kedua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

HAMPIR 10 tahun rasanya penulis tidak berkunjung ke perpustakaan selepas kali terakhir menjejakkan kaki di pusat ilmu itu ketika masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) suatu ketika dahulu.

Namun, baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk me­ngunjungi sebuah perpustakaan untuk mendapatkan keselesaan membuat kerja ketika pejabat melaksanakan perintah ‘bekerja dari rumah’ selama dua minggu.

Lengang, sunyi dan seakan-akan mati. Itulah gambaran yang dapat penulis simpulkan tentang keadaan dan suasana di perpustakaan tersebut, berbeza dengan waktu ketika zaman penulis masih di bangku sekolah.

Penulis tertanya-tanya juga, masyarakat hari ini enggan lagi mengunjungi perpustakaan kerana kemajuan teknologi maklumat yang semakin pesat atau ada kaitannya dengan situasi Covid-19?

Seorang mahasiswa jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohammad Isa Mohd. Yusof, 27, ketika ditemui mengakui tidak berminat untuk ke perpustakaan kerana lebih mudah mencari maklumat melalui internet.

Ujar Isa, kesuntukkan masa membuatkan dia tidak punya waktu untuk mengunjungi perpustakaan baik di dalam mahupun luar kampus kerana jadual yang padat.

“Kebanyakan buku teks boleh dimuat naik dalam internet sahaja. Kadang-kadang buku yang saya mahu tidak ada.

“Secara dalam talian lebih mudah dan boleh diakses di mana-mana sahaja,” jelasnya.

Pengarah Perpustakaan Cawangan dan Komuniti, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Ali Rashid berpendapat, budaya mengunjungi perpustakaan dilihat masih lagi relevan bukan sahaja pada hari ini, bahkan pada masa akan datang.

“Walaupun segala-galanya kini berada di hujung jari, saya masih percaya fungsi perpustakaan masih lagi relevan.

“Bukan untuk hari ini, bahkan sampai bila-bila,” ujarnya.

Katanya, fungsi perpustakaan dilihat masih relevan kerana perkhidmatan di perpustakaan kini telah berubah se­iring de­ngan kemajuan teknologi dengan kerja-kerja pendigitilan, perkhidmatan maklumat digital U-Pustaka dan pempakejan maklumat.

“Malah, perkhidmatan dan aktiviti turut diadakan seiring perkembangan teknologi semasa,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ali mengakui situasi pendamik Covid-19 yang melanda hari ini sedikit sebanyak membataskan pengunjung untuk datang ke perpustakaan kerana terikat dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Misalnya, buat masa ini kanak-kanak tidak dibenarkan untuk datang berkunjung ke perpustakaan seperti sebelum ini sama ada bagi tujuan membaca atau meminjam buku.

“Untuk bahan bacaan kanak-kanak, ibu bapa boleh membuat tempahan pinjaman secara online dan datang ke perpustakaan,” katanya.

Ketika Perpustakaan Negara ditutup sepanjang tempoh negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ali berkata, dia menerima banyak pertanyaan dan harapan daripada orang awam supaya perpustakaan segera kembali dibuka.

“Ramai yang tidak sabar untuk mengunjungi perpustakaan ketika PKP lalu. Jadi situasi ini jelas menunjukkan masih ada lagi yang mahu datang ke sini untuk mencari bahan.

“Cuma disebabkan SOP Co­vid-19, pengunjung yang datang perlu membuat temu janji terlebih dahulu. Maka sedikit seba­nyak ia mempengaruhi jumlah pengunjung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI