PETALING JAYA – Perkongsian seorang ‘frontliner’ berkongsi pengalaman pernah menerima sebuah panggilan misteri oleh seorang pesakit yang telah meninggal dunia 3 tahun lepas tular baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video oleh @medicalasiststant di laman aplikasi TikTok, dia bercerita pengalamannya pada tahun 2017, di mana berdepan dengan situasi misteri apabila mendapat panggilan kecemasan dari sebuah rumah pada jam 3.30 pagi.
Berdasarkan video berdurasi 1 minit 3 saat di TikTok, menerusi panggilan tersebut pesakit itu dilaporkan tidak sedarkan diri dan pihak hospital telah menghantar ambulans ke sana.
“Saya mendapat panggilan pada pukul 3.30 pagi, menyatakan nama dan alamatnya mengatakan tidak sedarkan diri di rumah, dalam 15 minit saya, pemandu dan seorang petugas bergerak ke rumah yang dialamatkan.
“Sesampainya saya di rumah berkenaan, rumah gelap gelita. Bagi salam tak ada yang menyahut. Kemudian saya telefon balik ke klinik untuk menyemak alamat rumah dan semuanya betul,” ujarnya.
Tambahnya lagi, selepas berasa pelik dengan situasi yang dialami mereka, petugas barisan hadapan itu kemudian bertindak untuk menelefon nombor yang digunakan oleh pesakit tersebut tetapi nombor tesebut tiada dalam perkhidmatan.
“Bila saya telefon semula nombor telefon pesakit, tiba-tiba tiada dalam perkhidmatan. Cemas rasanya. Sedang bercakap dengan pemandu, tiba-tiba dengar bunyi burung hantu dari atas bumbung rumah, terus kami bergegas tinggalkan rumah itu,” jelasnya.
Keesokan harinya, mereka pergi memeriksa nama pesakit di klinik dan alangkah terkejutnya nama individu itu sudah meninggal dunia tiga tahun yang lalu.
Perkongsian video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang berasa seram dalam pada masa sama terasa lucu apabila hantu itu didakwa telah ‘scam’ frontliners tersebut.
“Kesian hantu zaman sekarang ini, dia terlalu bosan sampai tak tahu nak buat apa, jadi dia telefon abang-abang ‘frontliners’ suruh datang ke rumah dia,” kata @Suhaila86.
“Mungkin dia nak minta tolong abang-abang itu supaya bagitahu warisnya, dia memerlukan pertolongan di alam sana dan mungkin dia minta supaya waris mendoakannya,” ujar @Intanabdkarim.
“Seramnya kalau dapat panggilan suruh ambil lepas itu sampai-sampai rumah tak ada orang, video itu lalu pula dekat telefon waktu maghrib memang meremanglah duduk seorang-seorang dekat rumah,” jelas @Puterihuz. – K! ONLINE.