TAMPIN – Walaupun kini tumpuan diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder membantu negara menangani penularan wabak Covid-19, tugas utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan tidak terjejas.
Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada ekonomi negara dan seterusnya kepada keupayaan pelaksanaan program perolehan dan pembangunan pertahanan yang dirangkakan.
Justeru itu menurutnya, ATM akan merancang sewajarnya agar aset sedia ada sistem pertahanan negara sentiasa dalam keadaan siapsiaga pada sebilang masa.
“Pada masa yang sama, ATM akan mengukuhkan pembangunan modal insan dan kompetensi melalui kelangsungan pelbagai kursus dan latihan ketenteraan yang telah dirancang kerana ianya adalah ‘ongoing investment’ demi memastikan pemerkasaan keupayaan pengendalian pelbagai peralatan dan pensejataan berteknologi tinggi.
“ATM mempunyai perancangan strategik dalam meningkatkan keupayaan pertahanan, namun apa yang lebih penting memperkasakan kesiagaan ATM sebagai tonggak pertahanan negara sebagaimana digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,”katanya kepada pemberita selepas Latihan Kuasa Tembakan 2021di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini. -K! ONLINE.