PUTRAJAYA – Bermula bulan ini, orang ramai boleh mendapatkan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di semua pasar raya dan kedai rangkaian dengan harga yang berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sedang di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit terbabit seperti pasar raya dan kedai rangkaian.
Namun katanya, mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit itu kepada masyarakat maka perluasan penjualannya di pasar raya dan kedai rangkaian terpilih buat permulaan ini.
“Usaha ini dijangka akan membolehkan orang ramai mendapatkan kit itu dengan lebih mudah dan dalam masa sama, kami amat menggalakkan peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu.
“Kementerian mengambil maklum bahawa terdapat lebih kurang sembilan juta kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) telah berada dalam pasaran.
“Pihak industri yang terlibat membawa masuk dan mengeluarkan kit itu telah memberikan maklum balas positif supaya ia dapat dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga runcit maksimum ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE