PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora susulan pembentukan Ribut Tropika (KOMPASU) di sekitar berhampiran dengan negara Vietnam.
MetMalaysia dalam laporan kaji cuacanya berkata, susulan pembentukan ribut berkenaan sedikit sebanyak menyebabkan corak tiupan angin dan juga keadaan laut bergelora di sekitar rantau negara.
“Amaran kategori pertama dikeluarkan di Condore, South Reef, Labuan dan Sulu, sementara kategori kedua di Reef North, Palawan dan Phuket serta kategori ketiga di sekitar Phuket.
“Amaran ini bahaya kepada semua aktiviti pantai, perkapalan, perkhidmatan feri dan juga bot-bot kecil. Khusus bagi kategori ketiga pula, ia berbahaya ke atas semua aktiviti termasuklah bagi pekerja di pelantar minyak,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu MetMalaysia berkata, imej gema radar yang terkini menunjukkan hujan di kawasan sekitar perairan Sarawak Barat dan dijangkakan ia akan reda dalam tempoh satu hingga dua jam lagi.
“Bagi ramalan cuaca petang dan malam ini, dinasihatkan supaya orang ramai di luar agar kekal berada di dalam rumah, mengadakan langkah penjimatan air dan tidak melakukan pembakaran terbuka kerana MetMalaysia menjangkakan cuaca panas dan juga kering dijangka bersambung pada hari ini sehingga dua hari lagi.
“Namun, hujan di satu dua tempat masih lagi boleh terbentuk di pantai timur semenanjung Malaysia diikuti di sekitar negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga Johor Timur. Keadaan itu juga boleh berlaku di hampir semua bahagian negeri Sarawak dan juga Sabah Timur,” tambahnya. – K! ONLINE