TAIPEI – Satu kebakaran yang berlaku semalaman hampir memusnahkan sebuah bangunan di bandar Kaohsiung, selatan Taiwan hari ini dan menyebabkan 46 orang terkorban, manakala berpuluh-puluh mangsa lain cedera, kata pihak berkuasa.
Kebakaran itu berlaku di sebuah bangunan pelbagai guna setinggi 13 tingkat pagi tadi, demikian menurut beberapa pegawai. Api merebak ke beberapa buah tingkat sebelum pasukan bomba dapat mengawal kebakaran.
“Kebakaran itu menyebabkan 46 kematian manakala 41 mangsa lagi cedera,” kata jabatan bomba Kaohsiung dalam satu kenyataan kepada pemberita.
Gambar yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat (CNA) menunjukkan asap hitam naik ke udara ketika anggota-anggota bomba cuba sedaya upaya untuk memadamkan api.
Menurut bomba Kaohsiung, lebih 70 jenteranya telah dikerahkan untuk mengawal api daripada merebak.
Kebanyakan kematian berlaku pada tingkat tujuh hingga 11 yang menempatkan apartmen kediaman, kata beberapa pegawai.
Lima tingkat pertama bangunan itu adalah untuk kegunaan komersial tetapi tidak berpenghuni.
Menurut seorang saksi, kira-kira 100 orang tinggal di apartmen-apartmen bangunan tersebut, manakala punca kebakaran masih disiasat. – AFP .