JAKARTA – Pemangku Ketua Pejabat Pemerkasaan Wanita, Perlindungan Anak dan Perancangan Keluarga (DP3AKB) wilayah Jember, Suprihandoko, mendedahkan bahawa seramai 159 orang wanita bergelar janda baharu di wilayah itu sejak Januari lepas, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Menurut perangkaan pihak berkuasa, golongan tersebut terdiri daripada mereka yang menjadi ketua keluarga dan memerlukan bantuan daripada pemerintah.
Hal ini kerana golongan tersebut berdepan dengan ancaman kemiskinan kerana memiliki tanggungjawab membesarkan anak-anak selepas bercerai dengan suami.
“Hal ini perlu menjadi perhatian kita semua. Semalam, petugas kami ada membuat tinjauan untuk melihat keadaan wanita-wanita tersebut sama ada mereka mempunyai kegiatan ekonomi yang produktif untuk mencari nafkah buat keluarga.
“Bayangkan, sekiranya hidup bersama suami pun belum tentu mencukupi (wang perbelanjaan), apatah lagi ketika menjadi ibu tunggal,” katanya.
Tambah Suprihandoko, pihaknya bertanggungjawab untuk melatih golongan janda dalam menceburkan diri dengan bidang yang menjadi minat mereka agar dapat menjadi sumber ekonomi keluarga.
“DP3AKB melatih mereka untuk bekerja sendiri atau bekerjasama dengan Pejabat Buruh atau Pusat Latihan Pekerjaan dan pihak swasta.
“Sementara itu, anak-anak turut mendapat hak dan perlindungan serta pendidikan yang mencukupi,” ujarnya. – Agensi