fbpx

TNB bayar zakat perniagaan RM5.52 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasan (kiri) menyerahkan simbolik zakat perniagaan TNB kepada Syed Ali (kanan) sambil disaksikan Idris (dua dari kiri) di Ibu Pejabat JAWI, Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Pusat Pu­ngutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menerima bayaran zakat perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM5.52 juta.

Pelaksanaan zakat perniagaan TNB telah bermula sejak tahun 1997 dan ini merupakan ke­sinambungan pembayaran zakat kali ke-23 dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan bayaran zakat sebanyak RM68,79 juta.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, terdapat banyak kelebihan me­nunaikan zakat di pusat pu­ngutan tersebut dan salah satunya adalah pembayar zakat layak menerima Skim Wakalah untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan asnaf.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada TNB kerana menjadi contoh syarikat pembayar zakat di PPZ-MAIWP yang sentiasa mengambil berat tentang zakat dan kepentingan me­nunaikan tanggungjawab ber­kenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersempena majlis penyerahan zakat korporat TNB di Ibu Pejabat JAWI semalam.

Majlis telah disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Turut hadir Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin, Setiausaha MAIWP merangkap Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ- MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

Gambar hiasan.

Dari Januari hingga September 2021, PPZ-MAIWP mencatatkan peningkatan kutipan zakat secara keseluruhan sebanyak lapan peratus berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM535,058 dengan jumlah pembayar seramai 345,288.

Selain itu, dalam tempoh tersebut, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak RM83.4 juta dengan jumlah pembayar 3,773, naik sebanyak 32 peratus berbanding tahun 2020.

Menurut Syed Ali, meskipun negara diuji dengan pandemik Covid-19, masih ramai masyarakat dan syarikat-syarikat yang prihatin dengan kesusahan yang dilalui asnaf dengan tidak melupakan tanggungjawab menunaikan zakat.

“Kami mengharapkan lebih banyak lagi penglibatan syarikat dan individu di luar sana tampil menunaikan zakat di PPZ- MAIWP bagi membela nasib asnaf di Wilayah Persekutuan,” terang beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI