fbpx

‘Tidak perlu ke Cameron Highlands’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Khairuddin menjual produk pertanian secara segar terus dari Cameron Highlands di tepi Jalan Baru, Perai.

SEBERANG PERAI – Orang ramai di negeri ini yang berhasrat menikmati hasil pertanian dari Cameron Highlands, Pahang kini tidak perlu lagi ke sana apabila ia dijual secara terus dan segar di sini.

Peniaga secara jualan but kereta, Mohamad Khairuddin Mat Nawi, 27, berkata, dia menjual hasil dari tanah tinggi itu seperti strawberi, jagung, ubi dan jeruk jambu batu di Jalan Baru, Perai di sini pada setiap hari bagi mengubati kerinduan orang ramai terhadap lokasi peranginan popular itu.

Menurutnya, perniagaan itu dimulakan sejak awal tahun ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang tidak dapat berkunjung ke Cameron Highlands.

“Bahkan, selepas kerajaan membenarkan rentas negeri ketika ini, saya difahamkan keadaan di sana agak sesak dengan kunjungan orang ramai.

“Jadi, mereka di kawasan sekitar tidak perlu ke sana lagi jika sekadar mahu menikmati strawberi segar atau jagung madu dan ubi yang popular,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurut Mohamad Khairuddin lagi, hasil pertanian itu dijamin segar kerana ia akan dibawa secara terus dari Cameron Highlands pada setiap hari.

“Tempahan kepada pembekal dibuat pada sebelah pagi dan lori akan bergerak pada tengah hari sebelum tiba di Pulau Pinang pada sebelah petang.

“Selepas stok tiba, saya akan terus menjualnya di but kereta bermula pukul 5.30 petang hingga 9 malam,” katanya lagi.

Tambahnya, harga yang ditawarkan tidak jauh berbeza berbanding di Cameron Highlands apabila menjual sekotak strawberi pada harga RM20 berbanding RM15.

Selain menjalankan berniaga berdekatan sebuah pasar raya besar di Jalan Baru, produk berkenaan turut boleh didapati di beberapa lokasi di sini seperti Bandar Perda di Bukit Mertajam, Taman Chai Leng di Perai dan Bandar Sunway di Seberang Jaya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI