GOMBAK – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang juga suspek kes samun bersiri di kawasan Kajang pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian samun bersiri di lokasi berbeza di sekitar Selayang.
“Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dan akan melakukan jenayah samun secara berseorangan di tepi jalan atau premis kedai dengan bersenjatakan sebilah pisau dan rotan.
“Suspek ini kemudiannya akan melarikan diri sebaik selesai melakukan jenayah samun dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya telah menerima tiga kes jenayah samun membabitkan suspek di sekitar Selayang.
“Kes pertama berlaku pada Rabu lalu membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun di kawasan Selayang Capitol dengan kerugian kira-kira RM300.
“Sementara kejadian kedua berlaku pada hari yang sama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di Bandar Baru selayang. Mangsa kerugian RM2,000.
“Kejadian ketiga pula berlaku pada 7 Oktober lalu di Jalan Selayang Point membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun,” ujarnya.
Tambahnya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau itu telah ditahan pada Sabtu lalu di sekitar Kajang dan polis turut merampas kenderaan MPV yang digunakan suspek.
“Hasil siasatan mendapati, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun di sekitar daerah Gombak(3), Kajang(2) dan satu di Cheras. Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompak bersenjata,” jelasnya. – K! ONLINE.