SEJAK menempa populariti luar biasa di seluruh dunia, siri original Netflix, Squid Game terus menjadi bualan ramai sehingga ke hari ini biarpun sudah hampir sebulan ditayangkan.
Atas permintaan ramai yang mahukan siri berkenaan disambung untuk musim kedua, CNN yang menemu ramah pengarahnya iaitu Hwang Dong-hyuk baru-baru ini berjaya mendapatkan respons daripadanya.
Kata Dong-hyuk, dia meninggalkan beberapa ‘point’ terbuka menerusi tayangan sembilan episod siri tersebut untuk diperdebatkan penonton dalam musim kedua seandainya perkara tersebut berlaku.
“Saya mahu menyelongkar lebih mendalam tentang kisah silam ‘frontman’ yang dilakonkan Lee Byung-hun, cerita mengenai Joon-ho (Wi Ha-joon) dan lelaki yang membawa permainan ddakji di dalam beg bimbit (lakonan Gong Yoo).
“Kesemua kisah mereka tidak diceritakan lanjut dalam musim pertama. Jadi saya mahu kembangkan cerita tentang ketiga-tiganya dalam musim kedua,” katanya.
Pun begitu, wujud kebimbangan terhadap pelaksanaan musim kedua. Semuanya kerana Dong-hyuk mendedahkan dia kehilangan enam batang gigi gara-gara mengalami tekanan melampau sepanjang kerja-kerja produksi.
“Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan setakat ini. Saya secara peribadi memikirkannya kerana sangat ramai orang bercakap tentang musim kedua,” katanya.