PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui sedikit kekok tanpa kehadiran ketua jurulatihnya, John Beasley menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis yang berlangsung pada 20 hingga 24 Oktober ini.
Beasley dikatakan tidak dapat menemani dua pelumba negara iaitu Shah Firdaus dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis berikutan larangan pergerakan Kerajaan Australia yang menetapkan mana-mana rakyatnya pulang dari Eropah tidak dibenarkan balik ke negara itu semula.
Atlet kelahiran Muar itu berkata, kehadiran jurulatihnya itu amat penting terutama ketika menilai keadaan velodrom dan juga strategi yang akan digunakan mereka ketika kejohanan itu.
“Tahun ini, saya akan menyertai Kejohanan Dunia sedikit berbeza kerana saya akan ke Perancis tanpa kelibat jurulatih saya iaitu Beasley.
“Sudah pasti situasi akan berlainan kerana dalam perlumbaan pecut dan keirin memerlukan taktikal yang rapi. Kita sebagai pelumba tidak dapat menilai apa yang akan dilalui pada perlumbaan.
“Sebab itu pentingnya jurulatih disamping pelumba terutama penggunaan gear dan sebagainya. Ini kali pertama saya mengambil bahagian dalam acara pecut dan keirin. Pasti saingan bukan mudah kerana rata-rata pelumba Eropah telah melakukan persiapan cukup rapi.
“Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan keadaan itu dan saya juga bernasib baik kerana penolong jurulatih, Hasnizam Basri akan bersama kami di Perancis nanti,” katanya yang akan berlepas ke Perancis pada Jumaat ini.
Dalam pada itu, Shah yang akan mengetuai cabaran pasukan negara tanpa kelibat jaguh utama, Datuk Azizulhasni Awang mengakui, dia bertekad melakukan sebaik yang boleh di Perancis nanti.
“Ramai bertanya kepada saya, bila saya sertai kejohanan dunia pasti dengan Azizul. Kali ini berbeza, tetapi saya tetap membawa misi serupa iaitu memegang tanggungjawab besar. Saya akan berikan yang terbaik seperti bersama Azizul sebelum ini.
“Ini kali pertama saya bersaing di Perancis dan akan cuba mendapatkan keserasian dengan cepat,” katanya yang bakal membuat kemuncul ketiga dalam Kejohanan Dunia.