SHAH ALAM – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dinobatkan sebagai johan kategori Bahasa Melayu dalam PolyCCTube 2021, hari ini.
PSA telah menonjolkan video Harmoni Malaysia berdurasi 2 minit 40 saat diketuai pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Shaffuan Mustafa, yang memaparkan keunikan rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan harmoni walaupun terdiri daripada berbilang kaum, agama dan budaya.
Kemenangan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,500, trofi serta sijil.
PSA turut meraih tempat kedua bagi kategori yang sama menerusi video Perbezaan dan kategori Pilihan Penonton menerusi video Anak Malaysia.
Kategori Bahasa Inggeris dimenangi Politeknik Port Dickson manakala bagi kategori antarabangsa dimenangi oleh Iloilo Science and Technology University (ISAT), Filipina.
Pertandingan yang bermula sejak Mei 2021 ini telah menarik 28 penyertaan dari politeknik dan kolej komuniti seluruh negara selain luar negara dengan menggunakan platform Youtube bagi mencungkil bakat pelajar menghasilkan kandungan video yang berkualiti serta mempunyai mesej yang tersendiri.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Zainab Ahmad berkata, PolyCCTube 2021 bertujuan mendidik generasi muda khususnya para pelajar politeknik dan kolej komuniti bagaimana menyebarkan maklumat dan pengetahuan dengan cara yang betul.
Selain itu, katanya, memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara.
“Pelajar digalakkan menggunakan video berkualiti tinggi untuk menyebar sumber maklumat tanpa had secara kreatif menerusi media sosial.
“Namun tetap menjaga etika serta memberi kesan yang positif kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah PolyCCTube 2021 secara maya hari ini. -K! ONLINE.