PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan para menteri agar memberikan bimbingan sewajarnya kepada peserta Felo Perdana yang ditempatkan di bawah mereka.
Menurut beliau, barisan menteri tersebut perlu memberi pendedahan sebenar dunia kerjaya kepada para peserta berkenaan kerana terdapat dalam kalangan kumpulan program Felo Perdana terdahulu tidak dilibatkan dalam pentadbiran kerja di pejabat.
Bahkan, menurut beliau, mereka tidak pernah dibawa balik ke kawasan Parlimen menteri masing-masing bagi pendedahan gerak kerja politik.
“Ada dalam kalangan dulu-dulu, mereka tinggalkan felo, tidak libatkan pentadbiran di pejabat sama ada melalui Setiausahsa Sulit Kanan (SUSK) dan sebagainya. Mereka tinggalkan (felo) begitu sahaja.
“Ada yang tidak pernah bawa balik ke kawasan, tak bawa ke Parlimen, jadi jangka masa tiga bulan yang sepatutnya diberi pendedahan, tidak dilakukan dan akhirnya mereka keluar tak dapat menimba ilmu apa-apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Felo Perdana Tahun 2021 di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mahu semua Menteri yang terlibat memberi pendedahan sebenar kepada peserta Felo Perdana seterusnya membantu mereka berjaya dalam karier masing-masing.
Beliau berkata, objektif sebenar program ini adalah memberikan pendedahan kepada anak-anak muda dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta supaya dapat memahami, mempelajari serta merasai sendiri bagaimana setiap kementerian ditadbir.
Selain pendedahan situasi pentadbiran di pejabat, menurut beliau, menteri perlu membawa felo pulang ke kawasan Parlimen masing-masing agar mereka memahami secara dekat penglibatan mentor sendiri dalam politik termasuklah melihat perbahasan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, langkah itu mampu memberi pengalaman, pembelajaran dan ilmu berguna kepada felo dan selepas tamat pengajian memandangkan ramai dalam kalangan mereka bakal menjadi pegawai berjaya sama ada dalam sektor awam atau swasta. – K! ONLINE