PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta cuba memasuki simpang dalam keadaan terburu-buru dan pada saat akhir menyebabkan seorang penunggang motosikal kemalangan dan tercampak di tepi jalan.
Aksi ‘pancung lorong’ tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum ia tular di media sosial Facebook.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial Facebook berdurasi 25 saat itu memaparkan sebuah kereta cuba memasuki lorong di sebelah kiri jalan pada saat akhir sebelum sebuah motosikal yang gagal mengelak telah melanggar kenderaan tersebut.
Bagaimanapun, keadaan penunggang motosikal terbabit tidak dapat dipastikan namun kejadian dipercayai berlaku di Batu Pahat, Johor.
Rata-rata pengguna media sosial Facebook mengutuk tindakan pemandu kereta berkenaan yang memandu secara melulu dan menyebabkan kemalangan.
“Kenderaan yang nak membelok mesti berhenti dahulu dan pastikan selamat baru membelok. Bukan terus pancung masuk simpang. Tapi masalahnya ramai pemandu yang tak mahu berhenti dahulu terus pancung masuk simpang dengan harapan kenderaan lain beri laluan kepada mereka.
“Masalahnya pula kenderaan di jalan utama pandangan mereka akan fokus kehadapan. Mereka tak akan jangka ada kenderaan yang akan belok secara tiba-tiba,” kata @Mohd Nizam.
Sementara itu, @Puan Hafizza Ali berkata, pemandu kereta berkenaan seharusnya membuat pusingan U di tempat yang lebih selamat bukan memasuki simpang pada saat akhir.
“Pasang signal sekalipun tetap salah kalau macam itu cara dia bawak kereta, dari lorong kanan terus nk masuk simpang. Dah terlepas tu lajak jela lepas itu U turn kat tempat yang selamat, tak pasal-pasal orang lain jadi mangsa,” jelasnya.
Dalam pada itu, orang ramai turut mendoakan agar penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu selamat dan kembali pulih.
“Kalau la penunggang motosikal itu ada anak isteri dekat rumah yang sedang tunggu kepulangan suami atau ayah mereka. Sedihnya. Semoga penunggang motosikal itu cepat sihat,” ujarnya. – K! ONLINE.