PETALING JAYA – Tindakan ‘berani’ seorang penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah mendapat kecaman pengguna laman sosial.
Lebih menarik ‘aksi berani’ lelaki itu dilakukan di hadapan seorang anggota unit rondaan bermotosikal (URB) yang ketika itu sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat tersebut.
Aksi lelaki terbabit berjaya dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum ia tular di laman Facebook.
Berdasarkan klip video berdurasi 30 saat itu, kelihatan lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 tidak memberhentikan kenderaannya walaupun ketika itu lampu isyarat masih merah.
Ekoran tindakan berani itu, anggota URB yang kebetulan berada di lokasi terus mengejar penunggang motosikal terbabit.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila dan di mana klip video itu dirakam.
Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki terbabit yang mementingkan diri sendiri dan apabila berlaku kemalangan berani pula menyalahkan orang lain.
“Saya memang tak suka perangai penunggang motosikal, jikalau dilanggar daripada kereta nanti cedera parah salahkan pemandu kereta itu,” tulis Micheal Sam Chen Yen.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Komeng Larut.
“Masaklah menjawab kat abang polis tu, perangai penunggang seperti inilah yang selalu menyebabkan kemalangan, ingat nyawa tiada galang ganti,”ujarnya.-K! ONLINE