SEREMBAN – Seorang pengarah syarikat alat ganti motosikal dijatuhi hukuman denda RM80,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 4,528 unit alat ganti motosikal dan aksesori tiruan jenama Honda tahun lalu.
Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md. Razali.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, bagaimanapun tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Yeng Fart didakwa mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan bagi maksud perdagangan barangan yang mempunyai suatu cap dagangan berdaftar iaitu jenama Honda digunakan dengan salah (tiruan) pada 4,528 unit alat ganti dan aksesori motosikal.
Kesalahan itu dilakukan di premis Viss Motor Parts Sdn. Bhd. di Galla Industrial Park Jalan Labu di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 20 Januari 2020.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 209 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama.
Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan, manakala RM20,000 bagi setiap barangan atau maksimum lima tahun penjara jika sabit kesalahan kali kedua.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi.
Pada 23 September lalu, media melaporkan tertuduh sama dijatuhi hukuman denda RM70,000 di Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah menawarkan suapan kepada dua pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Februari tahun lalu.- K! ONLINE