DEMI memberi kelainan dalam program Maharaja Lawak 2021 (MLM2021), pelbagai perubahan baharu dilakukan sebagai kejutan buat penonton.
Antaranya gabungan baharu peserta yang cukup unik, sekali gus akan ‘memecah pakatan’ sedia ada dan mencipta elemen segar dalam program yang telah bersiaran selama sembilan tahun tersebut.
Paling mengejutkan adalah keputusan Atu untuk beraksi tanpa kumpulan Zero. Dia sebaliknya memilih berjuang bersama Achey dan Fad dalam kumpulan Boro.
Sementara itu, Zero yang dianggotai adik-beradik Atu iaitu Sharif serta Syaiful pula menukar haluan dengan memilih untuk beraksi bersama Danial Zaini menerusi kumpulan Tiro.Menafikan wujud konflik antara mereka, Sharif dan Syaiful menghormati dan tidak berkecil hati dengan keputusan Atu atau nama sebenarnya, Sharid Kunal Doli Sharif.
“Kami tidak bergaduh adik-beradik dan langsung tidak berkecil hati dengan keputusan Atu. Sebaliknya, kami menghormati dan menerima keputusan dia untuk tidak lagi bersama dengan hati yang terbuka.
“Kami menyokong pembabitannya dalam MLM2021 bersama Achey dan Fad dalam kumpulan Boro. Kalau bergaduh pun hanyalah di atas pentas MLM2021 kerana sekarang kami sudah menjadi pesaing,” kata Sharif dalam sidang akhbar MLM2021 secara virtual baru-baru ini.
Sementara itu, Sharif juga merasakan sudah tiba masanya untuk kumpulan Zero mencari kelainan bagi MLM2021 selepas bersama hampir sedekad.
“Tiada istilah berpisah atau rampas-merampas, kami hanya mahu mencuba sesuatu yang baharu. Kalau biasanya kami dikenali sebagai Zero, tahun ini kami memperkenalkan diri sebagai Tiro. Kami cukup rindu dengan pentas MLM dan hanya mahu hiburkan orang ramai,” tutur Sharif.
Sebagai rekod, Zero pernah bergelar juara MLM2014 dan sebelum ini bergelar Naib Juara program Raja Lawak musim keenam pada 2012.
Selain Zero, kumpulan Puteh yang merupakan bekas juara MLM edisi 2019 juga buat julung kalinya menyuntik kelainan apabila menampilkan peserta wanita iaitu Vicha.
Naga Juri
Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh, pentas MLM2021 menampilkan lebih banyak kejutan buat penonton.
Selain gabungan pelawak dalam kumpulan baharu, penjurian program tersebut juga agak berbeza apabila memperkenalkan karakter juri misteri atau Naga Juri yang merupakan salah seorang daripada empat juri tetap.
“Seperti biasa, empat juri tetap hadir daripada pelbagai latar belakang industri seni negara yang mampu menarik perhatian. Sudah menjadi tradisi juri-juri tersebut akan diumumkan pada hari pertama siaran langsung MLM2021.
“Watak di sebalik Naga Juri pula hanya akan didedahkan kepada umum di pentas akhir MLM2021. Apa yang pasti, identiti Naga Juri bukan merupakan calang-calang orangnya,” kata Norzeha.
Bagi edisi kesembilan MLM, 11 buah kumpulan akan bersaing merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM500,000.
Mereka ialah Boro, Tiro, Puteh (Mamak, Vicha, dan Ali), 3OTAK (Phoon Chi Ho, Farid Azmier dan Parakash Daniel), R&R (Man dan Rahim), Tobat (Shuk Sahar, Bell Ngasri dan Ropie) dan Otai (Azlee, Ieda Moin dan Acong).
Memasuki senarai adalah kumpulan Orix (Yassin, Abu Mamu dan Achok), Cawan (Aliff, Wan Gegau dan Che Mat), Bahye (Zahid, Nizam dan Shashic) serta Taici (Chiwan, Tapai dan Ilham).
Seperti kelaziman, Datuk AC Mizal terus diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program berkenaan buat kali kesembilan berturut-turut.
Terdahulu, program MLM direhatkan selama lebih setahun bagi memberi laluan kepada sebuah lagi program komedi terbitan Astro Warna, The Masked Singer Malaysia.
MLM2021 akan mula bersiaran setiap Jumaat pukul 9 malam dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 15 Oktober ini dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (Astro 107) dan semua platform Astro Go serta On Demand.