KOTA BHARU – Seorang mekanik nyaris rentung apabila sebuah kereta antik model Mercedes Benz-W123E miliknya yang sedang dibaiki tiba-tiba terbakar di sebuah bengkel di Kampung Bunut Payong di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, Zulkifli Mohd.Nor, 65, sedang melakukan kerja-kerja kimpalan lantai keretanya sebelum berlaku kejadian kebakaran tersebut.
Menurutnya, ketika sedang mengimpal lantai kereta, isterinya menjerit dan memaklumkan bahawa terdapat kepulan asap dari bahagian luar keretanya.
“Saya terus keluar dari kereta dan melihat api sudah marak membakar bahagian depan dan belakang. Bimbang kebakaran itu merebak terkena bengkel, saya terus menolak kereta itu ke tengah jalan.
“Saya baru membeli kereta ini dua bulan lalu pada harga RM5,000. Ada individu pernah menawar harga untuk membelinya RM10,000 semalam, namun menolak tawaran itu kerana sayang kereta ini. Saya tidak menyangka ia terbakar pula hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bengkel itu di Bunut Payong di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, dia bersyukur apabila sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran itu meskipun mengalami kerugian.
Sementara itu, Ketua Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Ab.Manah Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.19 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran kereta jenis Mercedes Benz-W123E itu berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit dan kerja-kerja memadam api tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.10 petang. – K! ONLINE