GEORGE TOWN – Cuti lebih 2,000 kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dibekukan sebagai persediaan menerima kedatangan 50,000 pengunjung yang dianggarkan ke Pulau Pinang pada hujung minggu ini.
Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, cuti kira-kira 77.6 peratus kakitangan MBPP termasuk ketua jabatan, pegawai dan staf di barisan hadapan dibekukan bermula 15 hingga 19 Oktober ini bagi melicinkan operasi ketika cuti hujung minggu.
“Bagi kakitangan yang telah mendapat kelulusan cuti ketika tarikh berkenaan, kita telah arahkan mereka untuk menangguhkannya terlebih dahulu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kebersihan dan sebagainya.
“Kesemua staf di MBPP berjumlah 3,019 orang dan kita telah meminta kakitangan untuk bersiap sedia bertugas sekiranya diperlukan ketika hujung minggu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Tung Seang, antara faktor yang menyebabkan MBPP bertindak membekukan cuti kakitangan adalah kerana negeri itu dijangka berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan peningkatan jumlah sampah sarap ketika hujung minggu ini.
“Sepanjang tempoh cuti hujung minggu ini juga, pemantauan tempat bersasar seperti Padang Kota Lama dan lain-lain lokasi tumpuan akan dijalankan pada waktu pagi dan malam.
“Selain itu, MBPP juga akan bekerjasama dengan pihak polis menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada pemilik perniagaan atau sesiapa yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – K! ONLINE