fbpx

Lapan diberkas, 31,500 kilogram minyak masak dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman memeriksa minyak masak bersubsidi yang dirampas di stor eksibit di Krubong, Melaka malam tadi.

MELAKA – Sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi peket 1 kilogram berjaya ditumpaskan dengan penahanan lapan lelaki dan rampasan minyak lebih 31,000 kilogram dalam satu serbuan di sebuah gudang dua tingkat di Bandar Bukit Beruntung, Selangor, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tujuh daripada suspek yang ditahan merupakan warga Mynmar dan seorang warga Thailand berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, hasil risikan serbuan tersebut telah dilakukan dan pemeriksaan di lokasi menemui minyak masak seberat 31,500 kilogram bernilai RM87,300 yang ditempatkan di dalam 36 unit tangki fiber.

Katanya, minyak tersebut dipercayai merupakan minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram yang telah dipindahkan ke dalam bekas industri bukan bersubsidi.

“Pasukan serbuan telah menemukan sebanyak 36 unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter yang berisi keseluruhannya dianggarkan 31,500 kilogram minyak masak bersubsidi.

“Peralatan untuk memindahkan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri turut ditemui dan kesemua barang kes tersebut telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM87,300,” katanya pada sidang akhbar di stor eksibit di Krubong di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya percaya sindiket itu telah beroperasi hampir dua bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram daripada beberapa pemborong berlesen di sekitar Lembah Klang.

“Minyak masak bersubsidi itu seterusnya dileraikan dan dikumpulkan di dalam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi.

“Dalam serbuan tersebut, seramai lapan pekerja lelaki warga asing telah ditahan untuk membantu siasatan,”

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.

Tambahnya, kesalahan dilakukan telah melanggar peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan minyak masak yang melibatkan urusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI