SKOPJE – Jerman menjadi pasukan pertama Eropah berjaya melayakkan diri dengan menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas berjaya menumbangkan pasukan Macedonia Utara 4-0 dalam aksi Kumpulan J awal pagi semalam.
Dua jaringan Timo Werner dan ledakan Kai Harvertz serta Jamal Musiala memastikan Jerman memperoleh kemenangan kelima mereka, sekali gus mengumpul 21 mata untuk layak ke Piala Dunia lebih awal.
Lima kemenangan di bawah kendalian Hansi Flick menyaksikan Jerman mengutip 15 mata maksimum, manakala Romania berada di tangga kedua Kumpulan J dengan 13 mata.
Sebagai rekod, juara setiap kumpulan layak secara automatik ke kejuaraan berprestij tersebut tahun depan.
“Kemenangan yang kita peroleh kali ini sangat sempurna. Sasaran pasukan untuk menempah slot lebih awal adalah langkah cukup baik. Kemenangan itu juga hadir menerusi lima kemenangan berturut-turut.
“Pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang berada dalam pasukan ini. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang bekerja keras untuk memastikan Jerman layak lebih awal.
“Pada perlawanan tersebut, saya akui kami sedikit bekerja keras terutama pada separuh masa pertama, namun dengan kerjasama berpasukan, mereka dapat menjaringkan gol.
“Kemenangan ini sudah cukup dan saya berpuas hati dengan permainan mereka secara keseluruhannya,” kata Flick yang menggantikan tempat Joachim Low. – AGENSI