SHAH ALAM – Penduduk khususnya di Lembah Klang yang berdepan gangguan bekalan air disarankan agar menutup segala suis berkaitan mesin penapis bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya litar pintas.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, ini berikutan ketiadaan air menyebabkan mesin tersebut tidak dapat beroperasi dengan sempurna.
Katanya, langkah berjaga-jaga harus dilakukan dari segi alatan memasak mereka.
“Kita berharap masyarakat tidak cuai dalam tempoh ini kerana sesuatu proses pemadaman seperti rumah kelas satu memerlukan sehingga 3,000 liter air untuk tujuan pemadaman.
“Namun dibimbangkan sekiranya berlaku kebakaran melibatkan deretan rumah berdekatan atau setinggan yang mungkin menggunakan air yang lebih banyak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, untuk sebuah kilang seperti kebakaran di Kampung Telok Gong dekat sini hari ini memerlukan 10 tangki air dengan hampir 180,000 liter air kesemuanya.
Norazam bagaimanapun menegaskan sumber bekalan air bagi kegunaan pihaknya masih mencukupi setakat ini.
Terdahulu, sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula hari ini.
Tujuh wilayah itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). -K!ONLINE