fbpx

Hilang ibu bapa selang sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Zafiq (duduk, kiri depan) bersama arwah ibu dan bapanya (barisan tengah) serta adik-beradik.

SUNGAI PETANI – Hasrat tiga beradik untuk melancong bersama ibu dan bapa mereka tidak kesampaian apabila kedua-dua insan tersayang itu meninggal dunia selang sehari akibat kom­plikasi selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19 pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Terdahulu, mereka seke­luarga merancang berkumpul bersama di Hotel Grand ­Lexis, Pulau Pinang dan Swiss Garden Resort di Kuantan, Pahang.

Zafiq Zainol, 38, berkata, bapanya, Zainol Zakaria, 64, dan ibunya, Pauziah Hassim, 63, ­menerima rawatan lebih dua minggu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini setelah disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 20 September lalu.

“Pihak perubatan HSAH memaklumkan me­ngenai kematian bapa pada pukul 6.35 pagi, Jumaat lalu sebelum disusuli de­ngan berita kematian ibu kami pada pukul 12.02 tengah hari keesokan harinya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapa mereka di Taman Delima, di sini semalam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia dan dua adik-beradiknya sudah lama bersedia dengan kemungkinan akan kehilangan ibu dan bapa kerana mereka mempunyai penyakit kronik iaitu jantung serta buah pinggang.

“Namun begitu, kami tidak menyangka akan kehilangan kedua-dua mereka sekali dalam tempoh masa selang sehari sahaja,” ujarnya yang masih sedih dan terkejut dengan pemergian insan tersayang itu.

Menurutnya, ibu dan bapa­nya itu menetap di Bayan Lepas, Pulau Pinang kira-kira lebih 20 tahun lalu kerana mereka me­ngusahakan perniagaan restoran masakan kampung serta mempunyai sebuah rumah di Taman Delima, di sini.

“Arwah ibu dan bapa saya tidak pernah berjauhan lama-lama dan sentiasa bersikap romantik se­perti orang-orang muda bercinta.

“Rezeki mereka dapat sehidup semati bersama dan kami sebagai anak hanya mampu berdoa semoga ibu dan bapa kami tergolong dalam kalangan orang yang beriman,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Zafiq berkata, sebelum ini mereka sekeluarga ada berbincang untuk pergi bercuti bersama selepas rentas ne­geri dibenarkan.

Katanya, ibunya memang suka melancong, namun sudah lama tidak dapat berbuat demikian disebabkan faktor kesihatannya yang tidak menentu selain ke­adaan negara yang dilanda pandemik sejak tahun lalu.

“Kini rentas negeri sudah dibenarkan, namun hasrat kami untuk bawa ibu dan bapa me­lancong tidak dapat dilaksanakan kerana mereka sudah tiada,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI