fbpx

Dua polis cedera disengat tebuan ketika tangkap penyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua anggota polis dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu selepas disengat tebuan petang semalam.

KOTA BHARU – Nasib tidak menyebelahi dua anggota polis berpangkat konstabel apabila mereka mengalami kecederaan selepas disengat tebuan semasa menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian samun di Kampung Badang di sini semalam.

Kejadian berlaku pada pukul 6 petang semasa sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan melakukan serbuan di sebuah pondok yang terletak di tepi sungai di Kampung Taman Buaya di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, apabila tiba di kawasan berkenaan, polis melihat seorang lelaki yang disyaki terlibat kes samun pada 1 Oktober lalu berada dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit bertindak melarikan diri sejauh 200 meter sebelum masuk ke dalam kawasan semak.

“Semasa cuba menangkap suspek, anggota polis telah diserang oleh ratusan koloni tebuan tanah. Keadaan itu menyebabkan dua anggota berusia 25 dan 27 tahun disengat belasan kali oleh serangga berkenaan,” katanya.

Menurut Wan Khairuddin, meskipun dalam keadaan cemas akibat serangan tebuan tanah, anggota polis tetap berjaya menahan suspek kes samun yang berusia 36 tahun itu.

Ujarnya, kedua-dua anggota yang disengat tebuan tanah itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Suspek dalam kes samun itu telah ditahan reman untuk siasatan lanjut. Semakan mendapati, lelaki terbabit mempunyai sembilan rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambah Wan Khairuddin, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI