GEORGE TOWN – Dua lelaki yang disyaki memukul dua individu termasuk seorang gelandangan di hadapan sebuah bank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada 6 Oktober lalu ditahan polis Ahad lalu.
Suspek yang merupakan penyelia pembersihan bangunan Komtar berusia 27 dan 43 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 malam di hadapan bank sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang mangsa kira-kira pukul 7 petang pada hari sama.
Beliau berkata, mangsa mendakwa membuat rakaman video melalui telefon bimbitnya tindakan dua lelaki sedang memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan kira-kira pukul 2 petang pada 6 Oktober lalu.
“Mangsa mendakwa dia turut dipukul oleh dua lelaki tersebut selepas mereka menyedari mangsa merakam perbuatan tersebut.
“Mangsa dipukul berkali-kali sehingga lebam pada belakang badan, siku kanan dan betis kiri serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, sejak beberapa hari lalu tular di media sosial tiga klip video memaparkan dakwaan seorang lelaki dipukul oleh beberapa individu di tempat awam sehingga menimbulkan kemarahan orang awam.
Soffian berkata, siasatan awal polis mendapati suspek sering memukul peminta sedekah dan gelandangan di lokasi tersebut selepas mendakwa mereka sering membuat kotor di kawasan terbabit.
“Polis turut merampas dua batang rotan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.
“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah namun ujian air kencing kedua-dua suspek negatif dadah,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata. – K! ONLINE.