PETALING JAYA – Pembentangan Bajet 2022 yang dijadualkan pada hari Jumaat, 29 Oktober ini diharapkan dapat mencapai keseimbangan dalam soal keperluan untuk memulihkan ekonomi dan usaha mencapai kelestarian pada masa depan.
Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dua aspek ini dijangka menjadi fokus bajet kali ini, berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah diumumkan sebelum ini.
Jelas beliau, RMK-12 dilihat lebih jelas kerana turut memperincikan fokus, tema, pemangkin dasar dan pemacu perubahan berbanding hanya menyatakan tonggak pertumbuhan negara pada RMK sebelumnya.
“Sekiranya dilihat pada draf awal, RMK-12 telah menyentuh soal kelestarian dan kerana situasi pandemik, kerajaan turut memfokuskan juga kepada usaha pemulihan.
“Berdasarkan peruntukan RM400 bilion untuk perbelanjaan pembangunan pada RMK-12, bajet 2022 mungkin akan lebih menumpukan kepada pembangunan infrastruktur serta naik taraf kemudahan asas.
“Bantuan sementara yang bersifat one-off seperti yang diumumkan pada bajet tahun ini atau pelan-pelan pemulihan lalu untuk rakyat mungkin tidak begitu banyak,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Selain itu, Ahmed Razman menyatakan, ada keperluan supaya pelaksanaan bantuan bersasar untuk bayaran balik pinjaman bank diteruskan.
“Berhubung kebenaran pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pula, saya berpandangan ramai golongan yang teruk terjejas sudah tiada lagi simpanan untuk dikeluarkan, jadi kerajaan perlu memikirkan kaedah lain untuk membantu mereka,” jelasnya.