HANOI – Aksi seorang wanita membakar makanan yang disediakan dalam upacara memanggil makhluk ghaib di hadapan rumah seorang individu yang dipercayai berhutang dengannya menjadi tular di media sosial, lapor laman Suara.com.
Menerusi satu klip video yang tular, wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai H, dilihat memakai gaun putih dan datang ke sebuah rumah bersama rakan-rakannya.
Dia turut membawa emas, bunga dan makanan sebelum membentangkan tikar di hadapan rumah individu yang berhutang dengannya. H kemudian duduk bersila dan membaca jampi serapah.
Namun, upacara H terhenti apabila beberapa petugas keselamatan datang dan memintanya untuk berhenti berbuat demikian.
“Saya sangat tidak bahagia, saya akan kembali menuntut hutang saya,” jerit wanita itu.
Ketika H menjerit, seorang lelaki dipercayai individu yang berhutang dengannya dilihat bergegas keluar daripada rumah tersebut dan meminta wanita itu supaya pulang.
Netizen yang menonton video tersebut kemudiannya berkongsi pendapat di ruangan komen.
“Jika ingin meminta hutang, seeloknya bukan dengan cara begini. Anda telah membuat persembahan di depan rumah dan menyebabkan kekacauan,” tulis seorang netizen.
“Kesesakan lalu lintas membuatkan kita sangat tertekan. Ada banyak cara lain, anda tidak seharusnya berkelakuan begitu,” tulis seorang netizen lain. – AGENSI