fbpx

Watak ibu psiko Sherie Merlis menakutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERIE MERLIS

“SAYA akan buat karakter itu dibenci penonton dan pada masa sama, menjauhkan diri daripada berperangai sebegitu.”

Demikian ungkapan aktres handalan, Sherie Merlis yang mencuri tumpuan orang ramai menerusi karakter si ibu zalim bernama Erma dalam siri televisyen I-Tanggang: Mother of All Lies.

Sherie atau nama lengkapnya, Sharifah Saadah Wan Zainal Abidin berkata demikian kepada HibGlam dalam satu sesi temu bual secara virtual baru-baru ini.

‘Tak kisah dibenci’

Bersedia sepenuhnya dihinggap kecaman dan kritikan ramai dek terjemahan watak yang bukan sahaja disifatkan sebagai zalim terhadap darah daging sendiri, bahkan tiada keperimanusiaan, Sherie, 48, berkata, menjadi tugasnya untuk melunaskan sesuatu tanggungjawab dengan sempurna.

DALAM I-Tanggang, Sherie memegang watak seorang ibu bernama Erma yang menghidap Munchausen Syndrome by Proxy dengan memalsukan penyakit anak sendiri.

“Saya tak kisah dibenci disebabkan karakter yang dijayakan demi peminat. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur lakonan diterima orang.

“Sebagai pelakon, apa sahaja watak yang diberikan, saya akan jayakan dengan sehabis baik. Itu janji yang boleh saya berikan,” tuturnya.

Kata Sherie, menjayakan watak Erma bukan satu tugas yang mudah.

Dia perlu melakukan ‘homework’ dengan secukupnya dan melazimkan budaya kerja tersendiri agar karakter yang dibawa memberi impak kepada setiap penonton.

“Jika bercakap tentang rujukan, saya menjadi Amy Adams dalam Hillbilly Elegy sebagai rujukan. Bukan 100 peratus daripada wataknya dalam naskhah itu, namun dari segi penyampaian emosi dan terjemahan karakter.

“Tiada kena mengena sangat pun watak Erma dan apa yang ditonjolkan Amy Adams dalam Hillbilly tetapi pengarah (Wan Hasliza) memberi saranan untuk saya ‘study’ karakter itu dan suntik dalam watak Erma,” kata Sherie yang mula aktif berlakon sejak 1989.

Munchausen Syndrome

Mengulas tentang masalah mental Munchausen Syndrome by Proxy yang dihidapi Erma dalam I-Tanggang, Sherie berkata, sememangnya kesedaran tentang penyakit tersebut sangat rendah dalam kalangan masyarakat, namun tetap berlaku.

LAMA menyepi, Sherie Merlis mencuri tumpuan peminat tempatan menerusi karakter si ibu psiko bernama Erma dalam I-Tanggang.

“Sejujurnya, sebelum terlibat dalam siri ini, saya tak tahu sangat tentang penyakit ini. Jadi ini adalah tanggungjawab saya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa penyakit ini wujud dalam komuniti kita.

“Melalui I-Tanggang dan watak Erma, saya nak khalayak sedar bahawa sebenarnya, ramai orang yang menderita disebabkannya. Penyakit tersebut juga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

“Untuk saya, kalau berlakon, memang saya tak baca sepenuhnya skrip sampai habis. Tetapi untuk I-Tanggang, saya baca skrip sampai episod keenam dan selebihnya saya dapat tahu waktu di set penggambaran.

KONSEP derhaka bukan hanya terpakai terhadap tindakan anak kepada ibu bahkan ibu kepada anak dan itu yang cuba ditonjolkan dalam I-Tanggang: Mother Of Lies.

“Kenapa? Sebab itu cara saya berlakon. Rasanya berlainan apabila kita dapat tahu keseluruhan cerita di set penggambaran, memberi motivasi luar biasa untuk kita jayakan watak terutama dari segi emosi,” ungkapnya.

Sherie turut mendedahkan, selain watak Amy Adams dalam Hillbilly, dia turut mengambil rujukan daripada kisah benar penderaan yang dilakukan terhadap Gypsy Rose sekitar 2015.

Terus aktif

Diajak berbicara momentum karier yang dilihat kembali aktif disebabkan watak Erma, jawab Sherie, dia mengharapkan pihak produksi menyedari usahanya untuk memeriahkan industri lakonan tanah air dengan lebih serius.

“Harap akan dapat lebih banyak karakter seperti ini pada masa hadapan.

“Sebelum ini, saya selalu dapat watak baik, kena buli dan sebagainya.

“Menerusi I-Tanggang juga, saya nak orang tahu yang ada banyak perkara sebenarnya yang boleh dikembara, cuma kita sendiri kena cari, gali dan beri peluang.

LARI daripada watak stereotaip sebagai wanita berendam air mata dan sering ‘dibuli’, Sherie yang memegang peranan ibu psiko dalam I-Tanggang teruja untuk menjayakan watak sebegitu pada masa hadapan.

“Sebenarnya, sebelum terlibat dengan I-Tanggang, agak lama saya tersekat di Sarawak untuk satu projek filem.

“Bulan Ogos tahun lalu baru saya balik ke Kuala Lumpur.

“Saya berharap, rasa teruja melakonkan watak sebegitu akan berpanjangan. Saya nak terus diberikan kepercayaan dan tanggungjawab menjayakan watak lebih besar daripada ini,” ujarnya.

Jalan cerita I-Tanggang memberikan pemahaman baharu kepada penonton terhadap konflik yang selama ini tidak pernah didedahkan iaitu isu penderitaan mental, Munchausen Syndrome by Proxy.

Selain Sherie, kisah kekeluargaan tersebut menyuntik pelbagai emosi melalui karakter yang dipersembahkan oleh barisan pelakon hebat tanah air lain seperti Faizal Hussein, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh, Syed Nahar, Rosdeen Suboh dan Yuyun Hikmah.

Selalu penerbit, pengarah dan penulis skrip, Wan Hasliza Wan Zainuddin pula menyifatkan I-Tanggang sebagai sebuah drama berat yang menekankan penderaan terhadap anak oleh seorang ibu selain memberi fokus kepada konsep ‘derhaka’.

I-Tanggang mula menemui penonton Astro Citra sejak 13 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI