KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan di Jalan Masjid India, dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan kejadian pada pukul 4.28 petang.
“Ketika Ketua Polis Balai Dang Wangi bersama pasukan tiba di tempat kejadian menemui seorang lelaki yang berpakaian lengkap tidak sedarkan diri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang hadir di tempat kejadian dan pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang berunsurkan jenayah,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang merupakan warga tempatan itu dipercayai terjun dari tingkat lapan bangunan berkenaan susulan penemuan satu unit kerusi di tingkat yang sama.
Jelasnya, jenazah mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HKL untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. – K! ONLINE