PETALING JAYA – Aktres Tiz Zaqyah menyelar tindakan segelintir selebriti tanah air yang mengambil tindakan merahsiakan status kesihatan sekiranya dijangkiti Covid-19.
Pernah melalui pengalaman yang sama, Tizz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 33, mula mempersoalkan hal tersebut selepas menyedari ramai golongan selebriti yang tidak berkongsi cerita selepas dijangkiti virus maut tersebut.
“Rupa-rupanya ramai selebriti pernah kena Covid-19 tetapi sorok. Mengapa?
“Anda sepatutnya mendidik dan menyebarkan kesedaran. Tentang Covid-19 nak malu tetapi kau punya kontroversi bodoh bangga pula,” kata pelakon drama Diva Popular itu dalam satu ciapan Twitter semalam.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan pendapatnya namun ada juga yang menganggap dia sebagai seorang penyibuk mengenai urusan orang lain.
Tizz bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan menyatakan dia rimas dengan situasi tersebut kerana pernah mengalami hal yang sama.
“Itu hak dia untuk sorokkan. Kenapa awak nak sibuk?” soal seorang pengguna Twitter.
Jawab Tiz: “Betul. Tak sibuk tetapi rimas sebab saya sudah melaluinya.”
Pada masa sama, Tiz yang sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 juga mempersoalkan sikap golongan yang masih enggan divaksin, apakah yang mereka mahukan dan apa sebenarnya yang sedang mereka perjuangkan.
“Ambillah vaksin. Manusia, manusia. Pasal kebaikan pun nak bergaduh. Ego. Bongkak. Semua orang dah vaksin, kamu saja belum.
“Kamu lawan, lawan, lawan sedangkan kami semua nak menang bersama. Ya, termasuk kawan-kawan aku yang tak nak vaksin,” tulisnya dalam satu hantaran media sosialnya.
Untuk rekod, Tizz pernah berkongsi khabar duka apabila mengesahkan dirinya positif Covid-19 sekitar Mei lalu iaitu beberapa sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri. – K! ONLINE