fbpx

Serah pada isteri nak balik kampung mana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian perantau beratur untuk menaiki bas untuk pulang ke kampung masing-masing selepas dibenarkan merentas negeri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur semalam. GAMBAR - AMIR KHALID

Di hujung sebuah kampung, tanpa disedari air mata seorang warga emas tumpah juga.

Menangisnya lelaki berusia dalam lingkungan 80-an itu bukan kerana duit pencennya sudah habis, tetapi disebabkan anak cucunya sudah boleh pulang ke kampung setelah lebih dua tahun dihalang berbuat demikian.

Ya, balik kampung. Angan-angan yang disimpan sejak Covid-19 melanda negara kita pada hujung 2019 oleh semua orang akhirnya menjadi kenyataan.

Media sosial dihujani segala macam hantaran mengenai hal itu. Ada hantaran berbaur lucu dan tidak kurang juga ada yang menitipkan rasa syukur.

Segala macam perancangan sudah difikirkan sampai ada yang ingin membakar lemang dan mengacau dodol bersama sanak saudara.

Kuasa tarikan balik kampung ini sangat kuat sehinggakan ada lagu khusus diciptakan untuk menggambarkan betapa riangnya suasana setiap kali pulang ke desa.

Berbeza pula ketika pulang ke bandar kerana setakat ini rasanya belum ada satu lagu pun yang diciptakan atau dinyanyikan oleh mana-mana artis.

Bagi pasangan suami isteri, cerita balik kampung ini mungkin sudah dibincangkan lebih awal lagi. Kampung siapa yang mesti mereka sampai dahulu sekiranya sempadan negeri dibuka semula kerap kali juga dibincangkan barangkali.

Kebiasaannya, dalam hal ini orang perempuanlah yang diberi peluang untuk menang. Orang lelaki bukan tidak mahu menggunakan kuasa veto tetapi kami lebih suka berdamai untuk satu cita-cita jangka masa panjang.

Setakat kampung siapa yang mahu kita balik dahulu bukanlah perkara besar. Lagi pun, jangan dilawan dengan apa yang telah ditetapkan oleh sang isteri kerana kaum wanita ini sentiasa betul.

Kena ingat, jika berkata-kata itu perak maka berdiam diri itu adalah emas.

Namun, dalam kita berseronok dengan kebenaran merentas negeri, perlu juga dikenang kepada rakan-rakan, anak-anak dan ibu bapa mereka yang telah pergi kerana virus Covid-19.

Jahatnya virus korona ini telah membuatkan 4,696 kanak-kanak menjadi anak yatim dan meragut hampir 30,000 nyawa.

Sedang kita merencana untuk bertemu sanak saudara, perlu juga kita renungi sahabat-sahabat dan kenalan yang mengambil keputusan menamatkan riwayat sendiri kerana tidak tahan dengan tekanan.

Ketika kita direzekikan dengan ketupat, dodol dan rendang ayam kampung, kenang jugalah ada dalam kalangan kita yang langsung tidak mempunyai wang dan mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar.

Jangan jadi orang yang pentingkan diri dengan mengambil sikap sambil lewa atau tunggu dan lihat kerana terpedaya dengan dakyah negatif mengenai vaksin.

Semenjak kumpulan pertama disuntik vaksin belum pernah lagi terbukti bahawa ia memudaratkan diri. Oleh itu, elakkan diri daripada menjadi orang yang bebal dan hidup dalam penafian buat selama-lamanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI