fbpx

Rentas negeri, lihat antivaksin di kejauhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. HAIKAL ISA, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEMALAM, hari pertama rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi dibenarkan rentas negeri.

Ketika kita semua berkompang kembali bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung dan melancong, perlu diingatkan virus Covid-19 masih berada di mana-mana sahaja.

Walaupun, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus, jangan alpa dengan prosedur operasi standard (SOP). Malaysia masih ‘bertatih’ untuk pemberian dos penggalak vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian dos penggalak akan dimulakan pada bulan ini dan kementeriannya membenarkan vaksin heterologi atau campuran.

“Jawatankuasa kecil teknikal yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Kalaiarasu M Peariasamy te­lah mengesyorkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk dos penggalak yang kita akan mulakan pada Oktober ini, kita membenarkan vaksin hetero­logi atau campuran.

“Bukan vaksin yang sama se­perti dos pertama dan kedua (yang digunakan sebelum ini). Kajian mengenai keselamatan ini telah dilaksanakan dan disyorkan untuk kita teruskan,” ujarnya di Dewan Rakyat minggu lalu.

Seperti apa yang dinyatakan pada perenggan terdahulu, mahu atau tidak mahu, kehidupan perlu diteruskan bersama Covid-19 dan mendapatkan vaksin adalah salah satu ikhtiar yang perlu dirakyatkan.

Satu tamparan hebat buat golongan antivaksin apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hanya mereka yang lengkap vaksinasi diberi kebenaran merentasi negeri.

Bukan untuk menidakkan peluang dan hak meneruskan kehidupan mereka yang masih belum percaya terhadap keberkesanan vaksin, namun kita hidup bermasyarakat dan langkah sewajarnya patut diambil untuk mengekang penularan virus maut ini dalam kalangan masyarakat.

Ada golongan yang masih berkeras menolak vaksin kerana berpendapat, mereka masih belum pasti apa bahan yang di­suntik masuk ke dalam badan menerusi saluran darah dan sebagainya namun pada masa sama, masih setia menghembus asap rokok secara sukarela.

Apapun, kelonggaran telah yang diberikan kerajaan tidak sepatutnya disalahgunakan.

SOP tetap SOP. Kita bukan macam Singapura, sebuah negara yang law-abiding. Akan ada golongan yang mengambil ke­sempatan atas kelonggaran yang diberikan ini dan tidak tertangkap.

Aplikasi MySejahtera kini ada fungsi lapor pelanggaran SOP. Nak hidup selamat bersama-sama, jalankan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada ramai yang berambisi nak melancong ke luar negara dan sebagainya, perlu diingatkan ekonomi domestik kita pun perlu anjakan bantuan.

Sokong apa yang diciap dalam Twitter Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berbunyi: “Ada yang rancang nak ke luar negara, tapi utamakan dalam negara dahulu. Bantu peniaga kecil, resort, pemandu teksi dan bisnes tempatan. Mereka memerlukan sokongan kita.”

Yang berhasrat ingin pulang ke kampung, ketahui dahulu status kalian dengan melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan. Usah semberono pulang ke kampung yang sepatutnya dipenuhi memori indah, namun dikendong bersama bendasing bernama Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI