PETALING JAYA – Permintaan untuk penerbangan domestik daripada rakyat selepas hampir setahun tidak dibenarkan merentas negeri kembali melonjak dengan ketara mulai semalam.
Aplikasi SuperApp AirAsia menyaksikan pertumbuhan trafik melebihi 140 peratus selepas pengumuman pembukaan sempadan oleh Perdana Menteri kelmarin, dengan destinasi paling popular adalah Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu dan Pulau Pinang.
Menurut AirAsia, sebagai permulaan, pihaknya akan mengendalikan 61 penerbangan harian ke 16 destinasi domestik termasuk dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang (21 kali seminggu), Johor Bahru (10 kali seminggu), Kuala Terengganu (28 kali seminggu) dan Kota Bharu (35 kali seminggu).
“Lebih banyak laluan dan kekerapan akan ditambah apabila permintaan perjalanan meningkat seiring dengan pembukaan semula lebih banyak destinasi percutian dalam masa terdekat dan tertakluk kepada persetujuan daripada pihak berkuasa.
“Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Kota Bharu bermula hanya RM12 sehala (tidak termasuk cukai lapangan terbang, fi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Mavcom dan lain-lain bayaran yang mungkin dikenakan),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail berkata, pihaknya telah mencatatkan pertumbuhan dalam tempahan penerbangan dalam negeri melebihi 500 peratus susulan pembukaan semula Langkawi pada 16 September lalu.
Cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines, MHholidays turut menunjukkan trend menaik dengan jualan pakej percutian 100 peratus lebih tinggi berbanding sasaran.
“Kami menyaksikan kadar tempahan yang semakin pulih, ini mencerminkan keyakinan pelanggan dan permintaan yang tinggi untuk perjalanan dengan Malaysia Airlines.
“Kumpulan komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada negara dan akan meningkatkan frekuensi domestik bagi memenuhi permintaan kukuh pelanggan,” katanya.
Malaysia Airlines menawarkan penerbangan dari harga serendah RM59 sehala untuk ke semua destinasi di Semenanjung, selain diskaun sehingga 50 peratus bagi pakej pelancongan MHholidays.
Selain itu, tambang ke Sabah dan Sarawak pula masing-masing bermula daripada RM159 dan RM109.