PUTRAJAYA – Tindakan seorang peniaga yang menjalankan perniagaan dan promosi secara dalam talian produk daging rusa palsu melalui satu platform e-dagang terbongkar selepas ditahan di premisnya di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengguna berkaitan daging disyaki bukan daging rusa sebenar seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit di dalam platform perniagaan dalam taliannya.
Menurutnya, kementerian telah menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa tersebut dan sampel daging rusa itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan ke atas sampel daging rusa terbabit.
“Hasil laporan kimia yang telah dikeluarkan Jabatan Kimia Malaysia mendapati, sampel daging rusa tersebut adalah merupakan daging kerbau berdasarkan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikesan melalui sampel itu.
“Ia bukan daging rusa seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit kepada pengguna melalui perniagaan dalam taliannya,” jelasnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE