fbpx

Pekerja kilang didakwa amang seksual terhadap anak tirinya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual terhadap anak tirinya yang berusia 10 tahun, tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 31 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dalam dua kejadian berasingan iaitu masing-masing pada Februari dan Mac tahun lalu di sebuah kediaman di Taman Sri Skudai, di sini.

Atas dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Jika sabit kesalahan, hendaklah dikenakan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew dalam prosidingnya memberitahu, pihaknya tidak mencadangkan sebarang jaminan ditawarkan kerana tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan keluarga.

“Tertuduh merupakan bapa tiri mangsa dan jika diberi jaminan, dikhuatiri tertuduh akan memberi ancaman keselamatan kepada mangsa kerana mereka tinggal di rumah sama,” katanya.

Tertuduh dalam rayuan jaminannya memaklumkan dia mempunyai tanggungan seorang isteri dan tiga orang anak serta mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM1,200.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan dan kes akan disebut semula pada 30 November ini untuk serahan dokumen.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI