BACHOK – Seramai 30 nelayan di Pantai Tok Bali di sini, boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apabila mereka sukar untuk turun ke laut ketika ini.
Selain daripada kekurangan hasil tangkapan, pukat yang digunakan mereka juga kebanyakannya mengalami kerosakan sehingga kelengkapan yang dianggap seperti senjata nelayan itu sudah tidak dapat digunakan lagi.
Mat Sani Rani, 44, berkata, nelayan bot kecil ketika ini mengalami kesukaran untuk menangkap ikan kerana keadaan kuala yang semakin cetek ketika ini.
Menurutnya, sebelum ini, nelayan-nelayan di kawasan itu mampu memperoleh hasil ikan yang mampu dijual kira-kira RM200 hingga RM300 sehari.
“Sejak kebelakangan ini, hendak dapat RM100 pun susah. Nelayan bot kecil sukar untuk turun ke laut berbanding nelayan bot besar yang menggunakan pukat tunda. Kami tiada pilihan lain dan hanya mampu bekerja sebagai nelayan di sini.
“Jika kawasan kuala cetek ditambah pula dengan keadaan pukat yang sudah uzur, sukar untuk kami mencari rezeki,” katanya ketika ditemui selepas Program Kemanusiaan 2021, Bantuan Pukat Untuk Nelayan peringkat negeri Kelantan di Sudara Beach Resort di sini semalam.
Dalam program itu, seramai 30 nelayan Pantai Tok Bali menerima bantuan set pukat, tong ikan dan jaket keselamatan sumbangan Etiqa dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM)
Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, program itu dijalankan menerusi program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa dengan menyalurkan sumbangan pelbagai kelengkapan kepada nelayan.
“Pelaksanaan projek ini memberi fokus kepada nelayan yang kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan nelayan miskin yang terjejas pendapatan ketika ini.
“Sebahagian bantuan telah disalurkan secara terus kepada mereka secara pandu lalu dengan menggunakan bot,” katanya.-K! ONLINE