BUENOS AIRES – Kapten pasukan Argentina, Lionel Messi puas dapat membantu pasukannya melakar kemenangan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dengan menewaskan pasukan seteru, Uruguay 3-0 pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Monumental itu, Messi berjaya meledak satu gol sekali gus jaringan ke-80 di peringkat antarabangsa selain Rodrigo De Paul dan Lautaro Martinez turut mencetak nama selaku penjaring.
Kata Messi, barisan pemain yang masih segar dengan kejayaan menjuarai trofi Copa America, Julai lepas telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri tidak kira ketika menyerang mahupun bertahan sehingga memberi kesukaran buat pasukan lawan.
“Ini adalah perlawanan yang cukup sengit melibatkan kedua-dua pasukan tetapi taktikal yang direncanakan oleh jurulatih kami lebih menjadi dan ia adalah keputusan yang sempurna apabila meraih tiga mata berharga.
“Kita tahu kualiti yang ada pada pasukan Uruguay, namun benteng pertahanan kami sentiasa bersedia untuk mengekang asakan dan pujian wajar diberikan kepada penjaga gol, Emiliano Martinez yang berjaya menepis setiap percubaan penyerang lawan,” katanya.
Sementara itu, pengendali La Albiceleste, Lionel Scaloni mengakui sangat gembira dengan apa yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya yang ternyata berada dalam kelas tersendiri untuk mengutip tiga mata penuh.
“Kita agak kecewa apabila seri tanpa jaringan ketika bertemu Paraguay minggu lalu dan ini adalah persembahan terbaik pasukan untuk membuktikan bahawa mereka masih memiliki penyudah yang berbisa. Fokus kini terarah pada aksi bertemu Peru pada Jumaat nanti,” katanya.
– AGENSI