PUTRAJAYA – Malaysia mengiktiraf akses kepada persekitaran selamat, bersih, sihat dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pendirian itu diperakui melalui penajaan resolusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Resolusi pada 8 Oktober lalu di Geneva, Switzerland ini julung kali bagi MHAM dalam mewujudkan kaitan secara jelas dan langsung antara hak itu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Malaysia ujarnya, turut menaja satu lagi resolusi bagi mewujudkan jawatan Pelapor Khusus yang mempromosi dan melindungi hak asasi secara global dalam konteks perubahan iklim.
Resolusi itu disambut baik kerana ia mengenegahkan implikasi ke atas hak asasi disebabkan kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim yang dialami masyarakat di seluruh dunia. -K! ONLINE