KANGAR – Jumlah kenderaan di negeri ini didapati bertambah pada hari kedua aktiviti rentas negeri dibenarkan.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, ketiadaan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri menyebabkan pihaknya tidak mengetahui jumlah sebenar kenderaan yang keluar masuk ke negeri ini.
“Bagaimanapun, daripada segi pemerhatian secara rawak memang ada nampak peningkatan jumlah kenderaan yang masuk.
“Meskipun tiada SJR di sempadan, pemeriksaan snap check secara berkala sentiasa dilakukan bagi mengesan jika ada mereka yang tidak lengkap dua dos vaksin merentas negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, setakat ini belum ada lagi individu yang tidak lengkap dua dos merentas negeri ke Perlis. – K! ONLINE