SKUDAI – Jumlah kenderaan keluar masuk yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan dan jalan negeri di Johor dijangka akan meningkat sebanyak 40 peratus pada cuti hujung minggu ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail berkata, setakat ini mendapati keadaan aliran trafik masih terkawal.
Katanya, pemantauan yang dijalankan sejak awal pagi mendapati pergerakan kenderaan di lebuh raya berjalan lancar dan tiada kesesakan luar biasa berlaku.
“Pada kadar kebiasaannya, purata kenderaan harian yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan adalah kira-kira 17,000 kenderaan sehari.
“Namun begitu, dijangka akan berlaku kesesakan dan peningkatan kenderaan di lebih raya dan di jalan-jalan negeri sebanyak 40 peratus pada hujung minggu ini melibatkan purata kenderaan harian meningkat kepada 19,000 hingga 21,000 buah kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjalankan pemantauan aliran trafik di Plaza Tol Skudai, di sini.